
28 Sept 2009 (Isnin) – Selamat Menyambut Hari Lebaran kepada semua warga SMK Majakir serta pengunjung setia yang melayari blok ini. Bak kata pepatah, sebulan kita berpuasa maka sebulan juga kita akan merayakannya. Sambutan hari raya kali ini nampaknya agak sederhana mungkin disebabkan oleh keadaan ekonomi yang belum pulih seperti sediakala. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula di saat-saat akhir mencacatkan sedikit persiapan suri rumah untuk menyediakan juadah seperti kuih muih untuk santapan seisi keluarga dan tetamu di hari raya. Rata-rata kaum muslimin dan muslimat menyambut kedatangan 1 syawal dalam kesederhanaan dan berbelanja secara berhemah. Walaubagainanapun suasana kemeriahan tetap terasa dengan kehadiran saudara-mara dari jauh dan dekat, jiran tertangga, rakan sekerja, bekas pelajar dan pelajar sekolah.

Inilah peluang untuk sebilangan besar pelajar untuk berkunjung ke rumah guru-guru mereka sambil menikmati juadah yang disediakan. Peluang ini digunakan juga oleh pelajar dan guru untuk saling bermaaf-maafan sekiranya terdapat tutur kata atau perangai yang menyinggung dan menyakitkan hati mana-mana pihak.


Sememangnya ketika hari raya, golongan yang paling ceria dan gembira ialah kanak-kanak. Seawal pagi merekalah yang paling seronok dan tidak sabar untuk berhari raya siap dengan pakaian baru dan menunggu apalagi kalau bukan duit raya.

Sudah menjadi amalan dan tradisi untuk kita mengunjungi “Rumah Terbuka” yang diadakan pada setiap hari raya. Tahun ini beberapa orang guru SMK Majakir telah mengadakan “Rumah Terbuka” untuk melayani kunjungan tetamu. Idea mengadakan “Rumah Terbuka” ini ada baiknya kerana sekurang-kurangnya tuah rumah dan para tetamu dapat merancang persiapan dan perjalanan.

Rumah Terbuka Pn. Hajijah Hasan

Rumah Terbuka Pn. Noor Aainah Pg. Jaafar

Rumah Terbuka En. Kassim Hj. Wiro

Semoga sambutan raya tahun ini akan dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahhim sesama warga pendidik SMK Majakir, pelajar dan ibubapa. Wassalam.